FIRMAN ALLAH S.W.T., MAKSUDNYA: "APA YANG KAMU SEMBAH, YANG LAIN DARI ALLAH, HANYALAH NAMA-NAMA YANG KAMU MENAMAKANNYA, KAMU DAN DATUK NENEK KAMU, ALLAH TIDAK PERNAH MENURUNKAN SEBARANG BUKTI YANG MEMBENARKANNYA. SEBENARNYA HUKUM (YANG MENENTUKAN AMAL IBADAT) HANYALAH BAGI ALLAH. IA MEMERINTAHKAN SUPAYA KAMU JANGAN MENYEMBAH MELAINKAN DIA. YANG DEMIKIAN ITULAH AGAMA YANG BETUL, TETAPI KEBANYAKAN MANUSIA TIDAK MENGETAHUI." ( Q.S. Yusuf: 40 )

Thursday, 3 October 2013

DAKWAH YANG NABI S.A.W. SAMPAIKAN



Gambar Hiasan: Kaabah Baitullah
Kebenaran ada pada Rasulullah s.a.w. dan kaum muslimin yang menuruti jejak langkahnya adalah mereka yang berpijak di atas jalan yang nyata, jelas, benar dan petunjuknya setelah Allah s.w.t. mengisi hati dan akal mereka dengan dalil-dalil bukti, kemudian mereka berdakwah secara terang-terangan dengan segala kemampuan dan kesanggupan mereka yang diajar oleh Allah s.w.t. melalui perlakuan, amalan dan lidah nabi s.a.w.. Beruntunglah mereka yang bertakwa, mempunyai keazaman, tegas, memilik dan memahami al-Quran dan sunnah.

 Nabi Muhammad s.a.w. memulai dakwahnya di Mekah. Baginda s.a.w. mengajak kaumnya  bertauhid kepada Allah s.w.t.. Melarang kaumnya supaya meninggalkan menyembah berhala-hala yang tidak memberi manfaat kepada diri dan keluarga mereka. Di samping itu, Rasulullah s.a.w. menyeru kepada akhlak yang mulia, membuang keruntuhan moral sifat jahiliyah yang tidak berperikemanusiaan dan menyalahkan fikiran-fikiran syirik. Ini kerana sistem kenabian yang dibawa oleh Nabi s.a.w. adalah menghubungkan antara akidah dan akhlak sehingga dakwahnya melahirkan keberkatan dalam rangka melahir dan membangunkan kecemerlangan manusia. Allah s.w.t. merakamkan dalam al-Quran surah al-An’aam ayat 151 hingga  159:



"Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya - "dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya).

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Kemudian (ketahuilah pula bahawa) Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat untuk menyempurnakan (kemuliaan dan nikmat Kami) kepada orang yang telah berbuat baik (menjalankan ajaran Kitab itu iaitu Nabi Musa), dan untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat, supaya mereka beriman kepada pertemuan dengan Tuhan mereka (pada hari akhirat kelak).

Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

Supaya kamu tidak mengatakan: "Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka.

Atau supaya kamu (tidak) mengatakan: "Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka". (Kamu tidak akan dapat berdalih lagi) kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan (yang cukup) dari Tuhan kamu, dan petunjuk hidayah serta rahmatNya (yang melimpah-limpah). Oleh itu, siapakah yang lebih zalim lagi daripada orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling dari ayat-ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya).

Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami).


Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya). "





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...